Tular Isu “Flat Earth” , Kenali Siapa Sebenarnya Suhaimi Saad

Namanya menjadi antara carian tertinggi buat masa ini. Mempunyai personaliti yang menarik, Suhaimi kini bergerak solo dan aktif memenuhi jemputan persembahan pentas di serata Malaysia. Mohd Suhaimi bin Saad (lahir 12 Oktober 1980) merupakan seorang penyanyi nasyid Malaysia dan merupakan bekas anggota kumpulan In-Team dari tahun 1999 sehingga tahun 2005. Pada tahun 2005, beliau berundur dari In-Team disebabkan terikatnya kontrak beliau bersama syarikat pengurusan Hijjaz Records Sdn. Bhd.

Namun kini, beliau telah bergerak di bawah pengurusan sendiri iaitu Karya Mosus. Beliau merupakan anak kelima daripada enam beradik.

Beliau berkahwin dengan Ina Naim pada 12 Ogos 2007 di Masjid Jamek Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor Darul Takzim. Hasil perkahwinan tersebut , beliau dan isterinya dikurniakan 4 orang cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie (2008), Sallman Elkhoyri (2010), Phyrosh Elfadwah (2012) dan Nur Layla Elghufrony (2014). Ina sebelum ini pernah bertunang dengan Mawi, bekas juara Akademi Fantasia Musim 3.

Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan LKTP Tementi, Triang (1987-1992), sebelum memasuki Sekolah Menengah Agama Al-Wusto, Temerloh (1993-1998). Beliau kemudiannya menyambung pendidikan peringkat ijazahnya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan Bahasa Arab.

Suhaimi merupakan pelopor dalam bidang persekolahan rumah (home schooling). Ini dapat dilihat apabila beliau nekad tidak menghantar anak-anaknya ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan formal.

Sebaliknya anak anak beliau diajar membaca,menulis dan mengira dan asas Al Quran oleh beliau sendiri di rumah sebelum menghantar mereka ke madrasah tahfiz.

Pernah memenangi kategori Lagu Nasyid Terbaik dan Lirik Nasyid Terbaik melalui lagu Selamat Tinggal Dunia dalam Anugerah Nasyid Minggu Ini.

Dan lagu terbaru “Cinta Sidna” dendangan Suhaimi Saad kini sedang merebut gelaran Lagu Nasyid Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM-22) di samping beberapa pesaing lain yang cukup hebat. Selain daripada Cinta Sidna, Suhaimi muncul dengan single terbaru beliau, Jutawan Pemurah yang dilancarkan pada bulan Ramadhan lepas.

Perkara Menarik Mengenai Suhaimi Saad

Sejak bergelar artis sehinggalah sekarang, pewangi rasmi Suhaimi Saad adalah WM White Musk.

Suhaimi obses terhadap laksa dan disebabkan minatnya itu, beliau belajar memasak laksa sehingga pandai.

4 angka terakhir di nombor MyKad Suhaimi adalah 5769. Manakala isterinya pula (Ina Naim) 5768. Lebih menarik lagi, nombor rumah keluarga Suhaimi di Pahang dan nombor rumah keluarga Ina Naim di Johor adalah sama iaitu 223. Suhaimi mempunyai bakat menulis khat dan melukis. (Lawa tulisan khat Suhaimi.

Suhaimi mempunyai 4 album solo yang diterbitkan oleh 4 syarikat rakaman berbeza.
1. Kias Cinta – Hijjaz Records.
2. Kalamak – Strategic Communication.
3. Zikir, Selawat & Doa – I Art Media.
4. Album baru dengan Arteffects International.

Suhaimi merupakan artis solo yang tidak pernah ‘miming’ ketika membuat persembahan. Semuanya live! 🙂

Menurut Suhaimi, rekod paling pantas beliau merakamkan sesebuah lagu adalah kurang 10 minit. (Ada sesetengah artis sampai sehari suntuk)

Ina bertuah dapat Suhaimi

DEMI minat yang mendalam, dia sanggup melucutkan jawatan sebagai tenaga pengajar. Begitulah pengorbanan yang difikir semasak-masaknya oleh bekas anggota kumpulan nasyid popular Inteam, Suhaimi Saad.

Tidak menjadikan keputusan yang diambil itu sebagai terburu-buru malah pada usia yang boleh dikatakan agak muda lagi, dia perlu merebut segala peluang yang terbuka di depan mata dan langsung tidak ingin mensia-siakan bakat yang dikurniakan kepadanya itu.

Memandangkan minat muzik sudah pun melekat dalam sanubari hatinya sejak sekian lama, Suhaimi,28, nekad meneruskan tekadnya untuk terus berjuang dalam arus nasyid.

Malah, dia tidak sesekali menyesal tetapi menjadikan ia sebagai satu usaha untuk memartabatkan serta meluaskan lagi genre muzik itu.

“Disebabkan minat, jadi saya sanggup berhenti mengajar untuk serius dalam bidang nasyid. Ini kerana usia masih muda, tidak salah untuk saya memfokuskan kepada nasyid terlebih dahulu.

“Bila usia pun dah meningkat sedikit, jadi boleh saya sambung balik tugas mengajar agama,” ujarnya selepas sidang media majlis pelancaran album terbarunya, Suhaimi KalamaK baru-baru ini.

Ina nasihat jangan borosMungkin timbul persoalan, kenapa Suhaimi tidak menyanyi sambil meneruskan tugas sebagai pengajar.

Suhaimi dengan bersahaja lantas menegaskan, disebabkan masa yang amat terhad, dia tidak boleh melakukan sebanyak dua kerja serentak.

Dia merupakan tenaga pengajar di Sekolah Rendah Al-Irsyad, Kuantan Pahang, manakala tugas untuk merakamkan album dan yang berkaitan dengan seni kebanyakannya di Kuala Lumpur.

“Memang susah sangat kalau saya buat kedua-duanya sekali gus. Saya perlu ingat saya ada anak, isteri dan tanggungjawab lain jadi keputusan ini memang betul,” ujarnya.

Beritahu Suhaimi yang merupakan suami kepada penyanyi Ina Naim, hasratnya membuat keputusan itu bukan sahaja dipersetujui oleh Ina malah keluarganya juga menyambut baik niatnya itu.

Kata Suhaimi, bapanya sendiri yang memberi perangsang kepadanya untuk meneruskan hala tuju dalam bidang seni.

Ia bukannya untuk mengejar populariti tetapi disebabkan minat dan bakat yang ada dalam dirinya.

“Ya, ayah saya tidak halang untuk teruskan dalam bidang ini. Lagipun kata ayah saya bila dah tua nanti, saya boleh meluangkan masa untuk mengajar agama. Jadi, usia muda ini buat apa yang patut dahulu,” jelasnya lagi.

Tambah Suhaimi, isterinya juga tidak membantah apa yang dihajatinya, asalkan dia tidak menjejaskan hal rumah tangga.

Jelasnya lagi, dia bersyukur kerana mempunyai isteri yang cukup memahami dan sabar dengan dirinya yang kini semakin sibuk.”Kadang-kadang kami jumpa sekejap sahaja di rumah,” ulasnya.

Apa pula komen Ina tentang suaminya yang sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menumpukan diri dalam dunia seni?

Ina sambil tersenyum manis memberitahu, dia tidak menghalang kerjaya seni Suhaimi, tetapi dalam soal kewangan, Ina menasihatkan Suhaimi jangan terlalu boros dan perlu sentiasa berwaspada.

“Saya sentiasa ingatkan dia duit perlu berjimat. Ini kerana manalah tahu bulan depan ke, mungkin tidak mendapat tawaran dari mana-mana pihak,” ungkapnya.

Lagu buat rakan karib Lapan tahun dalam bidang seni dan pernah muncul dengan album solo pertama berjudul Kias Cinta pada tahun 2006, membuatkan Suhaimi lebih tertarik untuk meneruskan pembabitan dengan kehadiran album kedua pula.

Album yang tetap berkonsepkan nasyid pop itu melibatkan sentuhan beberapa nama baru seperti Hafiz Hamidun dan Amar.Di samping itu, ia masih mengekalkan khidmat tenaga senior seperti Along Exist serta Fauzi Marzuki.

Jelas Suhaimi, album tersebut memuatkan 10 buah lagu, yang mana dua lagu menggunakan zikir sebagai elemen utama. Album itu telah pun diedarkan di pasaran dua minggu lalu.

“Kita tidak pasarkan dengan banyak. Kami cuba edar 200 keping dahulu dan memang akan ditambah lagi,” ujarnya yang bersyukur album pertamanya mampu terjual lebih 5,000 unit.

Disebabkan permintaan peminat-peminatnya yang sekian lama menunggu kemunculan album kedua setelah album pertamanya itu, Suhaimi dengan penuh semangat memberitahu, albumnya kali ini perlu terjual dengan baik juga.

“Album pertama jualannya, 5,000 unit lebih manakala sasaran untuk album kedua ini mestilah lebih kurang sama dengan jumlah tersebut,” katanya.

Menurutnya lagi, dalam album keduanya itu terdapat satu lagu yang sangat istimewa. Lagu yang berjudul Cahaya Mata, telah dicipta dan dituju khas buat rakan karibnya yang mendapat zuriat selepas berkahwin selama sembilan tahun.

“Lagu itu memang benar-benar saya tujukan khas buat mereka kerana akhirnya tercapai jua cita-cita mereka ingin memiliki cahaya mata,” jelasnya.

Menyentuh pula soal strategi untuk memasarkan albumnya itu, dan memandangkan pasaran album kini agak suram, Suhaimi menjelaskan, dia tidak keberatan untuk turut memasarkan albumnya itu di koperasi universiti-universiti tempatan.

“Saya rasa dengan memasarkan album di koperasi sekurang-kurangnya album itu boleh juga terjual,” ungkapnya lagi.

Di bawah pengurusan syarikatnya sendiri iaitu Karya Mosus, Suhaimi juga berazam untuk mendapatkan artis nasyid di bawah naungannya sendiri.

“Mungkin perancangan tersebut bukan untuk tahun ini tapi tahun hadapan. Saya perlu membuatnya dengan terperinci dan berikan yang terbaik kepada artis naungan saya,” katanya.

Suhaimi masak untuk InaMajlis pelancaran Suhaimi itu turut ditemani Ina bersama bayi lelaki mereka, Ehmad Hadie El Fardie yang baru berusia dua bulan.

Ina atau nama sebenarnya Nordiana Md. Naim, 24, yang telah melangsungkan perkahwinan dengan Suhaimi pada 12 Ogos tahun lalu di Kota Tinggi, Johor itu nampak ceria dan tidak kekok sekali bersama anaknya itu.

Ini kerana pengalaman lalu dirinya yang banyak menghabiskan masa dengan anak teman karibnya telah memberikan pengalaman berguna buat Ina.

Ina yang sentiasa tersenyum itu juga memberitahu buat masa ini, dia belum lagi memikirkan soal untuk kembali bergiat aktif dalam bidang seni.

Ini kerana anak lelakinya itu masih menyusu badan.”Tawaran memang ada terima tapi buat sementara waktu saya perlu tolak dan memilih untuk meluangkan masa bersama anak kerana dia menyusu badan, jadi susah nak ditinggalkan,” tambahnya yang kini mempunyai berat badan 45 kilogram berbanding sebelumnya hanya 41 kilogram sahaja.

Beritahu Ina lagi, dia bertuah kerana mendapat suami seperti Suhaimi yang serba boleh, baik sebagai suami mahupun bapa kepada anak sulung mereka itu.

“Kadang-kadang saya penat sebab baru lepas bersalin dan berpantang, jadi Suhaimi banyak membantu. Masak pun dia boleh,” jelasnya dengan bibir yang menguntum senyuman.

Kredit : kosmo

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*