Sarah Suhairi Menyanyi Dangdut Di Korea, Orang Korea Teruja Menari Bersama

Mungkin masih ramai yang belum mengenali Sarah Suhairi. Sarah yang baru berusia 19 tahun merupakan penyanyi di bawah naungan syarikat rakaman MVM Productions yang juga telah menjuarai rancangan realiti Astro BigStage musim pertama pada tahun lepas. Semasa konsert minggu kedua BigStage musim pertama, Sarah telah mempersembahkan lagu K-Pop yang tidak asing dalam kalangan anak muda, DduDduDdu dari kumpulan Black Pink. Persembahan hebat dari Sarah tersebut telah tular sehingga ramai YouTuber yang membuat video reaksi tentang persembahan tersebut, dan tidak terkecuali YouTuber dari negara kumpulan Black Pink itu sendiri iaitu, Korea Selatan.

YouTuber dari Korea Selatan yang terdiri daripada tiga orang ahli iaitu Dasol, Yerim dan Jade atau lebih dikenali dengan nama Blimey merupakan salah satu daripada mereka yang membuat reaksi tentang video persembahan Sarah tersebut. Mulai dari situ, mereka merasa kagum dengan bakat yang dimiliki Sarah dan mula meminati penyanyi tersebut.

Meskipun berbeza negara, bahasa dan budaya, sebagai peminat, Blimey mencuba nasib untuk menghubungi Sarah dan menjemputnya untuk ke Busan, Korea kerana Sarah telah dipilih untuk mewakili Malaysia bagi menghadiri Busan International Film Festival (BIFF).

Sejurus Sarah bersetuju untuk ke sana, Blimey telah memberitahu pihak Jagalchi Festival bahawa Sarah yang merupakan penyanyi dari Malaysia bakal berada di Busan pada hari festival tersebut diadakan dan pihak Festival Jagalchi turut menjemput Sarah untuk membuat persembahan di festival tersebut.

Bagi yang tidak tahu, Jagalchi Festival merupakan perayaan terbesar di Busan dan ia agak berbeza dengan festival yang lain kerana kebayanyakan yang hadir meraikannya adalah generasi yang lebih berusia malah penghibur-penghiburnya juga terdiri daripada generasi yang lebih berusia.

Oleh sebab itu, Sarah memilih untuk mempersembahkan lagu dangdut yang telah dipopularkan oleh Mas Idayu iaitu Senggol-senggolan, Cubit-cubitan. Ini kerana Sarah percaya genre lagu ini mudah untuk menarik minat penonton-penonton yang hadir pada malam festival itu nanti.

Setibanya Sarah di belakang pentas untuk bersiap sedia, dia semakin berdebar-debar setelah menyaksikan persembahan dari penyanyi-penyanyi senior yang sememangnya sudah dikenali di sana. Dia juga menyuarakan kepada Dasol yang bertindak sebagai pengurusnya pada malam itu bahawa alangkah bagusnya jika dia dapat bertutur dalam bahasa Korea.

Dasol tanpa membuang masa mengajar Sarah untuk memperkenalkan diri dalam bahasa Korea, dan dalam masa yang singkat Sarah dapat menguasainya dan berjaya memperkenalkan dirinya di atas pentas dalam bahasa Korea dengan sangat lancar.

Jade dan Yerim yang berada di bawah pentas terkejut dengan hal itu kerana tidak menyangka Sarah akan memperkenalkan dirinya di hadapan ribuan penonton dalam bahasa Korea. Manakala Dasol dibelakang pentas sangat bangga dengan Sarah pada malam itu kerana setiap yang diajarnya berjaya dituturkan oleh Sarah tanpa sebarang kesalahan.

Menurut Jade dan Yerim, diawal persembahan Sarah, tiada sebarang reaksi daripada penonton mungkin kerana mereka tidak biasa dengan lagu dan bahasa yang digunakan. Namun sebaik sahaja masuk kebahagian korus, para penonton semakin menggemarinya dan ramai daripada mereka yang merakam persembahan Sarah menggunakan telefon pintar masing-masing. Tidak dilupakan juga ada penonton yang begitu menggemari persembahan tersebut dan menari sehingga tamat persembahan Sarah.

Turun saja sarah dari pentas, dia telah disapa oleh seorang penyanyi senior meminta untuk bergambar bersama dan dia memuji Sarah mengatakan bahawa persembahan dari Sarah adalah persembahan yang terbaik pada malam itu.

Tidak habis di situ, sepanjang jalan untuk Sarah dan Dasol kembali bertemu dengan Jade dan Yerim, dia ditegur dan dipuji oleh warga-warga tempatan yang hadir dan menyaksikan persembahan dia tadi. Seluruh ahli Blimey sangat berbangga dengan Sarah dan benar-benar ingin memperkenalkan Sarah dinegara mereka.

Perjalan aktiviti Sarah di Busan telah direkodkan oleh Blimey dengan sebuah siri ekslusif dengan tajuk “Trail to Busan”. Setiap episod bakal ditayangkan disiaran YouTube mereka setiap hari Sabtu jam 6 petang waktu Malaysia. Persembahan Sarah di Jagalchi Festival tersebut merupakan episod kedua dari siri ini dan bakal ada beberapa siri lagi. Sarah juga bakal membuat persembahan busking di sana tetapi masih belum tahu persembahan tersebut dalam episod yang keberapa. Jadi, sama-sama kita nantikan ye.

Sedikit info tentang Blimey, mereka merupakan YouTuber dari Korea Selatan yang sangat meminati budaya, bahasa, dan banyak lagi tentang Malaysia. Jika ditonton setiap daripada video mereka, hampir kesemuanya bercerita tentang Malaysia. Mereka juga boleh dikatakan sebagai duta kecil Malaysia di Korea Selatan.

Sejujurnya, admin sebagai rakyat Malaysia, bangga dengan Sarah dan Blimey. Siapa sangka ada yang benar-benar ingin tahu tentang negara kita malah sama-sama membantu artis kita untuk dikenali dinegara mereka dan siapa sangka gadis yang baru berusia 19 tahun berjaya menawan hati ribuan penonton Korea yang jauh lebih berusia dengan dendangan lagu dangdut. Bagi yang belum menonton persembahan Sarah di Jagalchi Festival, boleh tonton video di bawah ini.

Sumber: YouTube Channel Blimey, instagram blimeytoyou

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*