“Erra Fazira akui gementar”- Lima tahun simpan hasrat akhirnya tercapai

Pelakon Erra Fazira akui gementar untuk mengerjakan haji di tanah suci Makkah pada awal Ogos ini. Jelas Erra, dia bakal menunaikan ibadah itu bersendirian tanpa mahram.“Saya akan berangkat menunaikan haji pada awal Ogos dan sebenarnya sudah lima tahun saya menyimpan hasrat ini.“Ada beberapa syarat yang patut saya patuhi dan sekarang adalah masa yang sesuai, usia pun sudah layak dan Alhamdulillah saya dipanggil ke sana.

“Sejujurnya saya gementar tetapi sangat teruja dan sudah tidak sabar. Itu perkara baik dan perjalanan ini antara saya dan Tuhan, semoga ia dipermudahkan,” katanya kepada Gempak.

Erra ditemui pada majlis pelancaran Aliff Syukri Legacy Cosmetics di Menara Mustapha Kamal, Damansara hari ini memaklumkan dia turut melengkapkan diri dengan ilmu agama dengan menghadiri kelas dan bertanyakan individu yang pernah mengerjakan haji sebelum ini.

Dalam pada itu, Erra teruja dilantik sebagai duta kepada produk terbaharu keluaran usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri.

Produk ASL Cosmetics telah berada di pasaran sejak sebulan lalu dan merangkumi 15 jenis produk kosmetik yang diformulasi sendiri oleh Aliff Syukri.

Antara produk yang dikeluarkan ialah gincu, maskara, bedak, pembayang mata dan concealer. Selain Erra, penyanyi Wany Hasrita turut dilantik sebagai duta kepada rangkaian produk kosmetik itu.

Sebelum itu, Penyanyi dan pelakon, Erra Fazira, 45, tidak menganggap bekas kekaasihnya, Shahir Zawawi, 31, hanya menabur janji palsu.

Sebaliknya, kata bintang yang mendapat jolokan Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu, sudah tertulis tiada jodoh antara mereka.

“Saya dan Shahir sudah ‘move on’. Dia dengan kehidupannya, saya pula dengan perancangan hidup saya. Bagaimanapun, kami masih berkawan, cuma tiada hubungan istimewa. Kami juga tidak bergaduh atau bersengketa biarpun hubungan tidak sampai ke jenjang pelamin.

“Sebelum ini, saya tidak pernah meletakkan harapan biarpun Shahir selalu sahaja membuka mulut mahu meminang dan melamar saya sebagai isteri. Selagi janji tidak berpateri, saya anggap semua itu masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.

“Sebagai wanita, bohonglah jika hati tidak berbunga-bunga apabila diberikan harapan, tetapi lama kelamaan kematangan mengatasi segala-galanya. Sampai bila mahu menunggu?” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi khas sempena mempromosikan filem terbaru lakonannya, Wangi, yang akan menemui penonton pada 5 September depan.

Semalam, pelakon jelita berkenaan mengumumkan hubungan cintanya dengan juara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan itu sudah terlerai, sejak enam bulan lalu.

Erra berkata, dia tidak pernah menyalahkan penyanyi Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu kerana tidak mengotakan janji.

“Saya juga tidak boleh nak menyalahkan Shahir. Saya percaya, jodoh dan pertemuan adalah aturan Allah. Saya dan Shahir sememangnya hanya ditakdirkan berkawan, bukannya menjadi suami isteri.

“Shahir mempunyai niat mahu meminang dan melamar saya, seperti diungkapkan ketika kami menjalinkan hubungan istimewa. Saya kenal Shahir… Dia selalu meluahkan hasrat mahu berkahwin dengan saya. Bagaimanapun, jika nak berkahwin, kenalah berusaha. Bukan tahu bercakap sahaja. Jelas, sasarannya tidak tiba ke penghujung.

“Saya pula tidak suka mengharapkan perkara yang tidak pasti. Jadi lebih baik kami lupakan sahaja,” katanya.

Erra berkata, mungkin dia dan Shahir ditakdirkan bertemu jodoh yang lebih serasi, pada masa depan.

“Jujurnya, saya tidak kecewa kerana saya percayakan aturan Allah. Jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan insan lain, Alhamdulillah. Jika tiada, saya reda kerana itulah perancangan Allah buat saya,” katanya yang bakal terbang ke Makkah bagi menunaikan ibadat haji, bulan depan.

Sumber : Gempak via khalifahdunia

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*