Baru sebulan menduda, Kanda Khairul temui jodoh dengan gadis 19 tahun

Penyanyi Atiqah Songket, Kanda Khairul, mengharapkan perkahwinannya bersama pilihan keluarga, Nor Fazleen Hamimi, 19, berkekalan hingga ke akhir hayat. Menurut Khairul, 33, mereka disatukan sebagai suami isteri pada 20 Julai lalu dan ia perkahwinan ketiga buatnya selepas mahligai dibina sebelum ini musnah, Jun lalu.“Dua perkahwinan saya sebelum ini adalah atas pilihan sendiri dan semuanya berakhir dengan percraian.

Jadi, kali ini, saya serahkan kepada keluarga untuk memilih calon isteri. Kebetulan, dia juga peminat saya dan kami tinggal sekampung.

“Jujurnya, kami memang tidak pernah keluar bersama dan saya melihat wajahnya buat kali pertama pada majlis pernikahan kami.

“Walaupun usianya jauh lebih muda, sifatnya yang matang dan kesanggupannya menerima anak-anak saya membuatkan saya tertarik padanya,” kata penyanyi itu kepada BH Online.

Ditanya apakah dia percaya pada ungkapan bercinta selepas berkahwin, Khairul yang juga calon Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-32 (ABPBH 32) berkata, dia sudah bersedia untuk melalui pengalaman itu.

“Saya percaya pada pilihan orang tua kerana masing-masing lebih tahu apa yang terbaik untuk anak mereka. Seronok juga bercinta selepas berkahwin kerana ia berbeza dengan pengalaman pernah saya lalui sebelum ini.

“Moga ia akan lebih mengeratkan lagi hubungan kami untuk terus kekal melayari bahtera perkahwinan hingga ke akhir hayat. Doakan kami,” pintanya.

Sementara itu, mengulas kerjaya seninya, bakat baharu berasal dari Kedah ini berkata, dia kini tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman atau pengurusan.

“Segala urusan kerjaya seni kini diuruskan sepenuhnya oleh isteri.

“Baru-baru ini, ada syarikat rakaman mahu melamar saya untuk bernaung di bawah label mereka. Insya-Allah, jika semua berjalan lancar, mungkin saya akan menerima tawaran terbabit,” ujarnya.

Hari ini, Khairul bersama 14 lagi calon awal ABPBH 32 akan berada di Komtar JBCC, Johor Bahru, bagi menjayakan siri jelajah anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu.

Selain dirinya, turut memeriahkan acara ialah Emma Maembong, Ara Johari, Aiman Tino, Muna Shahirah, Haiza, DJ Lin, Ryan Deedat, Afieq Shazwan, Luqman Faiz, Erwin Dawson, Tuah, Uchop, Adam Lee dan One Avenue Band.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan penganjur pada acara yang bermula jam 10 pagi hingga 6 petang itu. Alha Alfa Cosmetics adalah penaja utama ABPBH 32 dan DuitNow penaja bersama.

Sementara itu, Saat lagu dendangannya, Atiqah Songket, mendapat perhatian ramai, Kanda Khairul takkan sekali-kali melupakan pengalaman menjadi gelandangan sewaktu mula berhijrah ke ibu kota.

Kata bakat baharu berasal dari Kedah itu, peristiwa menyedihkan berkenaan kini menjadi penawar dan pembakar semangat buat dirinya dalam menghadapi cabaran serta kesukaran di bidang seni.

“Saya masih ingat ketika mula-mula menjejakkan kaki ke ibu kota, lebih sedekad lalu. Saya bukan sahaja tiada saudara-mara di sini, malah tak ada satu sen pun dalam saku.

“Namun, dek keinginan untuk mencari kehidupan lebih baik, saya beranikan diri untuk mengharungi kehidupan di kota besar walaupun terpaksa tidur di kaki lima, mengemis dan melakukan pelbagai kerja.

“Saya tak boleh mengeluh kerana asalkan rezeki yang diperoleh itu halal, ia sudah cukup menggembirakan,” kata lelaki berusia 33 tahun ini yang turut bergelar ahli perniagaan.

Menurutnya, apabila memutuskan untuk menceburkan diri dalam seni, tidak kurang teman yang memberikan pelbagai peringatan.

“Ada yang mahu saya berhati-hati kerana mereka bimbang saya akan tertipu lagi, seperti pernah dialami sebelum ini.

“Jujurnya, saya melangkah ke bidang ini kerana ingin merealisasikan impian sejak sekian lama. Walaupun baru sekarang ia tercapai, saya tidak kisah.

“Dalam soal pendapatan yang tidak menentu dan kemungkinan menjadi mngsa ‘kapur’ penganjur persembahan, rasanya saya sudah bersedia. Saya pernah hidup susah sebelum ini, jadi ia bukan masalah besar,” katanya.

Mengenai lagu Atiqah Songket ciptaan Harry Khalifah, Khairul bersyukur apabila karya bersifat humor itu mendapat sambuutan ramai.

Sejak video muziknya dikongsi pada penghujung tahun lalu, tontonan Atiqah Songket kini menghampiri angka 2 juta.

“Selepas ini saya akan muncul pula dengan single berjudul Sarah Dedon, yang juga kesinambungan lagu pertama. Ia hasil ciptaan spontan saya bersama Harry ketika kami dalam perjalanan ke Perak. Lagu ini juga sebuah karya berbentuk komedi.

“Namun, saya turut mempunyai perancangan untuk muncul dengan lagu serius, selepas ini. Lagu itu nanti berentak balada dengan liriknya adalah berdasarkan pengalaman pahit pernah saya lalui sebelum menjadi artis rakaman,” katanya.

Selain nyanyian, Khairul juga mengasah bakatnya dalam lakonan, malah turut menyimpan keinginan bergelar penyampai radio.

Sumber : BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*