Anak ini mengidam nak makan ayam goreng, tapi ibu hanya mampu sediakan nasi lauk ikan kering, kuah budu

GUA MUSANG – Makan nasi berlaukkan ikan kering dan berkuahkan budu menjadi menu harian lima beranak yang tinggal di sebuah pondok usang di Kampung Lepan Jaya, di sini. Masalah kewangan menyebabkan Surhaya Musa, 31, suaminya, Amran Roseh, 37, bersama anaknya, Muhammad Faris Hakim, 12, Nur Alisha Qaisara, 7, dan Muhammad Ammar Hakim, 5, juga terpaksa menjadikan sebuah pondok usang sebagai kediaman mereka sejak 12 tahun lalu.

Surhaya berkata, dia tidak mampu menyediakan lauk ayam goreng untuk hidangan walaupun beberapa kali anaknya mengidam untuk makan masakan itu ketika menyambut awal Ramadan lalu.

Dia berkata, pada cuti minggu persekolahan, anak sulungnya akan memancing ikan di sungai untuk dijadikan lauk berbuka puasa dan bersahur.

Katanya lagi, suaminya bekerja mengambil upah yang diberi penduduk kampung hasil daripada melakukan pelbagai pekerjaan sebagai buruh kampung bagi menyara keluarganya.

“Pendapatan suami tidak mencukupi apabila menerima upah tidak menentu sekitar RM300 sebulan.

“Saya pula tidak boleh membantu suami menambah rezeki kerana menghidap penyaakit asma dan sawan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Surhaya berkata, pondok yang didiami keluarga mereka itu dibina suaminya sendiri menggunakan kayu terbuang di atas tanah mentuanya kerana tidak mampu membina rumah yang sempurna.

Katanya, setiap kali hujan lebat pondok mereka akan kebasahan akibat terkena tempias air yang masuk melalui bumbung dan dinding.

“Setiap kali hujan kami terpaksa berpindah tempat tidur kerana air hujan masuk di segenap penjuru pondok yang sempit menunggu masa hendak runtuh.

“Sebelum ini saya sudah beberapa kali memohon bantuan kediaman yang selesa daripada pihak berwajib tetapi semuanya tidak berjaya,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad milik Surhaya bernombor 03063020361942 atau hubunginya di talian 017-9462 156.

Sumber : K! ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*